Setiap muslim pastinya akan mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua. Ini kerana seandainya kita meneropong kepada sirah perjalanan Nabi SAW pastinya kita akan dapati sejambak pengajaran yang cukup sempurna untuk setiap muslim ikuti termasuklah dalam hal-hal menguruskan rumahtangga. Allah SWT juga sebenarnya mensyariatkan perkahwinan dalam Islam ialah supaya manusia mendapat kebahagian dan ketenangan hasil daripda perkahwinan tersebut. Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa ia menjadikan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(Surah al-Rum 30: 21)
Terdapat tiga asas utama yang dapat diberi perhatian dalam ayat tersebut :
I. Pembentukan keluarga sakinah. Ini bererti setiap ahli keluarga yang hidup bersama akan merasai ketenangan dan ketenteraman. Mereka semua sentiasa berusaha untuk menyelesaikan setiap masalah secara bersama demi mencapai sebuah ketenangan dan kedamaian dalam keluarga.
II. Mawaddah iaitu cinta yang bertambah-tambah : Ertinya setiap ahli keluarga akan merasai kehangatan cinta dan kasih sayang, saling hormat menghormati, saling membimbing antara satu sama lain dan saling menampung setiap kekurangan yang ada pada setiap ahli keluarga.
III. Pembentukan sebuah keluarga yang penuh dengan rahmah dari Allah SWT iaitu pergaulan setiap ahli keluarga dalam suasana yang harmoni dalam suasana berkasih sayang, hormat menghormati dan saling mencintai antara satu sama lain sehingga merasakan kehidupan bekeluarga umpama syurga yang bertepatan dengan ungkapan Rasulullah SAW : “Baiti Jannati” iaitu “Rumahku Syurgaku”.
Perkahwinan merupakan satu perjudian dalam hidup. Apabila seorang lelaki dan perempuan bersetuju untuk hidup bersama bererti mereka juga sebenarnya bersetuju untuk mengaharungi bahtera rumahtangga bersama-sama. Mengharungi bahtera rumahtangga ibarat mengharungi sebuah lautan yang luas, penuh dangan badai dan gelombang. Bahtera yang dinaiki pastinya akan selamat walaupun badai dan gelombang yang ditempuhi begitu dahsyat apabila nahkoda dan anak-anak kapalnya saling memahami tugas masing-masing dan dibekalkan ilmu pelayaran yang mencukupi.
Begitu juga melayari sebuah bahtera rumahtangga, memerlukan ilmu yang mencukupi supaya setiap ahli keluarga memahami tugas dan peranan masing-masing. Rasulullah SAW juga meletakkan keilmuan sebagai menjadi syarat yang utama yang akan menjadi sinar kepada pembentukan sebuah keluarga bahagia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Apabila Allah SWT menghendaki sebuah rumahtangga itu bahagia, nescaya Ia akan memberikannya keinginan untuk menghayati ilmu-ilmu agama, yang muda akan menghormati yang tua, tenang dan damai dalam kehidupan, hidup dalam keadaan yang sederhana, menyedari kelemahan (aib) yang ada dan bertaubat. Namun, jika Allah SWT menginginkan sebaliknya, maka ditinggalkannya (keluarga tersebut) dalam kesesatan”.
(Riwayat al-Dailami)
Namun, jika dilihat dalam masyarakat hari ini pastinya kita akan merasai kesukaran untuk merealisasikan beberapa perkara penting yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadith di atas. Ini kerana dunia hari ini terlalu banyak perkara-perkara yang melalaikan sehingga masyarakat semakin jauh untuk menghayati ajaran-ajaran Islam yang sebenar. Masjid-masjid yang tersergam indah sunyi daripada budaya ilmu. Malah bilangan jemaah yang hadir untuk solat berjemaah juga menyedihkan. Walau bagaimanapun, seorang muslim yang memimpin bahtera rumahtangga perlu berazam untuk menjadikan rumahtangga yang dibina sebagai sebuah keluarga yang dipenuhi dengan cahaya iman dan nur dari Allah Taala. Justeru, budaya ilmu ini mesti dan dimulakan dalam kalangan ahli keluarga dengan menggunakan medium usrah yang diadakan di rumah sendiri terlebih dahulu.
Jika kita amati daripada di atas, kita akan dapati beberapa noktah penting yang perlu diberi perhatian oleh setiap muslim dalam membentuk sebuah rumahtangga yang bahagia. Antaranya ialah :
I. Agama sebagai dasar kehidupan dalam rumahtangga.
II. Mengamalkan akhlak yang mulia. Setiap ahli keluarga perlu hormat menghormati antara satu sama lain.
III. Memiliki hati dan jiwa yang tenang hasil daripada penghayatan majlis ilmu yang diikuti sehingga dapat membina sebuah rumahtangga yang harmoni. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidaklah berkumpul satu kaum di dalam satu rumah daripada rumah-rumah Allah yang membaca kitab Allah dan mempelajarinya, melainkan ia akan dikerumuni oleh para malaikat, dipenuhi dengan rahmat (dari Allah), diturunkan ketenangan ke atasnya (oleh Allah) dan nama mereka disebut oleh Allah di sisi makhluk-makhluk-Nya”.
Hadith ini juga menguatkan lagi betapa pembudayaan majlis ilmu akan membentuk sebuah keluarga yang disinari iman dan cahaya Ilahi. Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadith di atas bahawa manusia yang melazimi majlis ilmu akan memperolehi beberapa perkara :
- Malaikat akan bersama-sama mereka dan menebarkan sayap kerana redha kepada mereka yang berada dalam majlis ilmu.
- Allah Taala akan menurunkan rahmatnya yang menjadikan ahli-ahli majlis ilmu memperolehi kebaikan dalam hidup.
- Allah Taala akan menurunkan ketenangan-Nya sehingga menjadikan setiap ahli keluarga yang melazimi majlis Ilmu mampu hormat-menghormati, sayang-menyayang antara satu sama lain dan mampu menghadapi dugaan dan cabaran dalam melayari bahtera rumahtangga dengan penuh ketenangan.
- Mereka akan mendapat keredhaan dari Allah sehingga nama mereka disebut oleh Allah SWT di sisi makhluk-makhluknya.
No comments:
Post a Comment