Friday, 21 December 2012

Mus‘ab bin Umair Syuhada’ Uhud yang Zuhud


“Seorang warga kota Mekkah yang mempunyai nama yang paling harum” Inilah ungkapan yang paling tepat mengenai semangat kepemudaannya yang diungkapkan oleh ahli sejarah. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang kaya-raya dan dibesarkan dalam keadaan serba kesenangan dan kemewahan. Mempunyai perwatakan yang menarik dan wajah yang tampan menyebabkan Mus‘ab  bin Umair r.a menjadi kegilaan gadis-gadis kota Makkah pada waktu itu. Wangian yang dipakai tiada siapa yang dapat menandinginya.
Mus‘ab  bin Umair r.a mempunyai pemikiran yang cerdas, sentiasa diharapkan kehadirannya dalam setiap majlis perhimpunan dan dikatakan
menjadi penyeri majlis dan mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang diberikan dengan cepat. Mus‘ab  bin Umair r.a juga telah banyak mendengar cerita-cerita mengenai seorang lelaki yang membawa agama baru iaitu Muhammad al-Amin. Hatinya mula berbunga dengan cerita-cerita yang disampaikan mengenai Muhammad al-Amin sehinggakan pada suatu hari keinginannya untuk bertemu dengan insan yang menjadi bualan ramai ini sudah tidak dapat ditahan lagi. Mus‘ab  mendapat tahu bahawa ada satu kumpulan daripada penduduk Mekkah yang sentiasa menghadiri majlis-majlis pertemuan bersama Insan yang agung tersebut sehingga dia berusaha dan berjaya untuk menyertai rombongan tersebut. Sebaik saja Mus‘ab  berada dalam majlis tersebut, ayat-ayat al-Qur’an yang tersimpan dalam hati Rasulullah SAW kini sedang dialunkan melalui bibir Baginda SAW sehingga menusuk ke dalam hati Mus‘ab  bin Umair. Akhirnya, Mus‘ab  bin Umair dengan ketentuan Allah SWT  telah memilih Islam sebagai jalan hidupnya. Melalui Islamlah, belia telah merasai suatu kehidupan yang cukup bermakna daripada sebelumnya.
Setelah memeluk Islam, tiada siapa pun yang ditakuti oleh Mus‘ab  r.a melainkan ibunya sendiri. Ini kerana ibunya Khunas binti Malik seorang yang taksub dan fanatik dalam kepercayaan menyembah berhala. Mus‘ab  r.a sebenarnya ialah anak yang paling disayangi oleh ibunya sendiri. Malah apa saja permintaannya akan dipenuhi. Pada suatu hari, Khunas binti Malik telah mendapat tahu berita keislaman Mus‘ab  bin Umair r.a, menyebabkan Mus‘ab  dikurun dan diseksa beberapa hari oleh ibunya sendiri dengan harapan supaya Mus‘ab  meninggalkan agama baru yang dianuti. Keyakinan dan keimanan yang ada dalam diri Mus‘ab  hasil tarbiah dan didikan Nabi SAW dalam beberapa siri usrah yang diikuti oleh beliau di rumah al-Arqam bin abi al-Arqam menjadikan beliau begitu tabah untuk menghadapi dugaan dan cabaran. Setelah beberapa ketika dikurung, akhirnya Mus‘ab  dibebaskan oleh ibunya.
Berbagai cara yang digunakan oleh Khunas binti Malik untuk memujuk anaknya supaya kembali kepada agama asal. Namun semuanya menemui jalan buntu menyebabkan Khunas binti Malik mengambil keputusan dengan bersumpah di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga anaknya meninggalkan Islam. Walaupun Mus‘ab  terlalu menyayangi dan terlalu simpati dengan tindakan ibunya yang menyebabkan dirinya kini menjadi pucat dan lesu kerana tidak makan dan minum. Namun itu semua tidak menggoncang pegangan Mus‘ab  dengan Islam kerana pegangan Mus‘ab  ialah: “Tidak boleh memberi ketaatan kepada makhluk dalam melakukan maksiat kepada Allah”. Mus‘ab  juga dengan tegas menyatakan kepada ibunya dengan satu ucapan yang masyhur :
“Seandainya ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, kemudian nyawa ibu keluar satu-persatu, sesungguhnya saya sekali-kali tidak akan meniggalkan Islam”.
Sebaik saja mendengar jawapan yang tegas dari Mus‘ab , putuslah harapan ibunya lalu menghalau Mus‘ab  daripada rumahnya. Kini, tinggallah Mus‘ab  bersama-sama Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang lain. Untuk meneruskan kehidupannya sehari-hari, Mus‘ab  mencari nafkah dengan menjual kayu api. Khunas binti Malik menjadi semakin marah apabila berita ini sampai ke telinganya. Ini kerana kedudukan keluarganya yang tinggi di sisi masyarakat kini tercemar akibat tindakan yang dilakukan oleh Mus‘ab .
            Sewaktu seksaan yang dikenakan oleh pihak Quraisy ke atas orang-orang Islam semakin memuncak, Rasulullah SAW telah mengarahkan para sahabat termasuk Mus‘ab  bin Umair r.a untuk berhijrah dan mencari perlindungan buat sementara waktu di Habsyah. Namun setelah kembalinya Mus‘ab  bin Umair r.a daripada Habsyah keadaan beliau menjadi semakin kurus dan pakainnya compang-camping sehingga menimbulkan belas kasihan di hati Rasulullah SAW lalu Baginda menuturkan satu ucapan mengenai Mus‘ab  yang sering disebut-sebut oleh para sahabat :
“Segala puji bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesengguhnya sebelum ini, aku melihat Mus‘ab  seorang pemuda yang hidup mewah di sisi ayah dan ibunya, tetapi dia meninggalkan itu semua kerana cintanya kepada Allah dan Rasul”.
Khunas binti Malik telah mengutuskan anak-anaknya yang lain untuk memujuk Mus‘ab  supaya meninggalkan Islam tetapi Mus‘ab  tetap mempertahankan Islamnya. Namun, dalam diam-diam salah seorang saudara Mus‘ab , al-Rum telah memeluk Islam tanpa pengetahuan ibunya hasil dakwah yang disampaikan oleh Mus‘ab  bin Umair r.a. Inilah kehebatan dakwah Rasulullah kepada para sahabat r.a melalui siri-siri pertemuan usrah yang diadakan. Rasulullah SAW dengan hati yang murni telah berusaha sedaya-upaya untuk mendidik dan memberi tarbiyah kepada para sahabat r.a sehingga mereka mampu menjadi tulang belakang kepada perjuangan Islam.
            Pengetahuan Mus‘ab  mengenai Islam semakin mendalam yang menyebabkan beliau telah dipilih oleh Rasulullah SAW sebagai duta Islam yang pertama ke Madinah untuk mengajarkan selok-belok Islam kepada orang-orang Ansar yang telah berbaiah bersama Rasulullah SAW di bukit Aqabah dan juga menyebarkan agama Islam kepada penduduk Madinah yang lain. Ini semua sebagai persiapan untuk menjadikan Madinah sebagai sebuah tapak baru kepada Islam dan menerima rombongan hijrah Rasulullah SAW. Semasa ketika mula menjejaki kaki di bumi Madinah, bilangan orang-orang Islam di sana hanyalah dua belas orang iaitu orang-orang yang telah berbaiah bersama Rasul SAW di bukit Aqabah. Namun, bilangan orang-orang yang menjadi pengikut ajaran Muhammad SAW ini bertambah begitu cepat hanya dalam tempoh beberapa bulan saja.
            Semasa peperangan Uhud, Mus‘ab  merupakan orang yang diamanahkan oleh Rasulullah SAW untuk memegang panji-panji Islam. Peringkat kedua peperangan bagaimanapun menyaksikan tentera Islam mengalami kekalahan di tangan Musyrikin tetapi Mus‘ab  tetap tidak berganjak dari tempatnya seraya menyeru:“Muhammad ialah seorang Rasul dan telah banyak rasul yang telah diutuskan sebelumnya”.
Pada ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy yang bernama Ibnu Qamiah telah meluru ke arah Mus‘ab  dan telah melibaskan pedangnya sehingga terputus tangan kanan Mus‘ab  yang memegang panji-panji Islam. Mus‘ab  meyambut panji-panji itu dengan tangan kirinya pula dan terus mengulang-ulang seruan tersebut yang menyebabkan Ibnu Qamiah menjadi semakin marah dan menetak tangan kirinya pula sehingga kudung. Mus‘ab  terus menyambut panji-panji tersebut dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibnu Qamiah berjaya menikam Mus‘ab  bin Umair r.a dengan tombak sehingga gugurlah Mus‘ab  sebagai Syuhada Uhud. Al-Rum, Amir bin Rabiah dan Suwaibit bin Sad telah berusaha sedaya-upaya untuk mendapatkan panji-panji tersebut daripada jatuh ke bumi. Al-Rum telah berjaya mendapatkan panji-panji tersebut dan juga menyaksikan sendiri abangnya yang telah dipilih oleh Allah SWT sebagai salah seorang yang syahid. Al-Rum tidak dapat menahan tangisanya apabila melihat abangnya gugur syahid dan tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud.
            Oleh kerana kezuhudan Mus‘ab  yang sanggup meninggalkan segala kemewahannya demi mempertahankan akidah Islam sehinggakan ketika beliau hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutupi jenazah Mus‘ab . Keadaan  ini menyebabkan Rasulullah SAW tidak dapat menahan sebak di dada dan bercucuran air mata Baginda SAW yang mulia. Inilah yang telah digambarkan dalam satu untaian kata-kata yang masyhur :
“Apabila ditarik ke atas, bahagian kakinya di bawah terbuka. Apabila ditarik ke bawah bahagian kepalanya pula terbuka. Akhirnya kain itu hanya digunakan untuk menutup  bahagian kepalanya, sedangkan bahagian kakinya hanya ditutupi dengan daun-daun kayu”.
Demikianlah kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah SWT yang telah mendapat tarbiyah secara langsung dalam siri-siri usrah bersama Rasulullah SAW. Hasilnya Mus‘ab  mampu mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah generasi usrah Rasulullah SAW yang pertama yang mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah umat Islam ke Madinah.
            Mus‘ab  juga telah menjadi saksi kepada kita, betapa seorang yang yakin kepada Allah dan Rasul akan menganggap kemewahan dunia itu terlalu kecil jika ingin dibandingkan dengan nikmat Iman dan Islam yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Inilah yang telah dibuktikan oleh Mus‘ab  yang sanggup memilih hidup miskin demi mempertahankan akidah Islam yang suci dan sanggup memilih cinta Allah dan Rasul daripada cinta seorang ibu yang berada dalam syirik kepada Penciptanya. Ini sebanarnya satu tuntutan dari Allah kepada setiap hamba-Nya. Firman Allah Taala :
Maksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
(Surah al-Saff 61: 10-11)

No comments:

Post a Comment