Tuesday, 12 March 2013

Sukarnya mengurus sekeping hati - Siri 2



Siri 2

2.Sabar ; Satu perkataan yang senang diucap tetapi sukar untuk diamalkan.. Ya, kita mungkin mampu untuk menasihati orang lain supaya bersabar.. namun kesabaran itu akan teruji jika sekiranya musibah atau apa saja keburukan yang menimpa kita.

Ujian Tanda Kasihnya Allah SWT
Sabar merupakan sendi kekuatan bagi seorang mukmin....Ianya bukan semudah yang diucapkan tetapi ianya perlu kepada latihan.. kesabaran tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan keazaman yang sungguh dari seorang mukmin… Cuba kita perhatikan bagaimanakah orang-orang soleh menguruskan kesabaran untuk diri mereka… apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak dingini atau musibah, mereka terus memandang perkara tersebut sebagai satu ujian dari Tuhan terhadap hamba-Nya.... Bagi mereka, ujian adalah tanda kasih Allah Taala kepada mereka… Bagi mereka juga, ujian adalah untuk meningkatkan keimanan seorang hamba di sisi Tuhannya..

Ikhwan yang dirahmati Allah sekalian..
Yakinlah Allah SWT tidak akan memberi suatu ujian kepada hamba-Nya diluar kemampuan kita….Ujian dari Allah adalah mengikut kemampuan diri kita..Malah kita diajar untuk berdoa dengan doa “ Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kami dengan satu ujian yang kami sendiri tidak mampu menganggungnya”

Seorang ibu diuji dengan kehilangan anak, seorang pelajar diuji dengan kegagalan dalam peperiksaan, seorang bapa ketua keluarga diuji dengan karenah anak-anak yang didik dan pelbagai bentuk ujian lagi…Bentuk-bentuk kesabaran yang terdapat dalam al-Quran pula adalah seperti berikut :
1. Sabar dalam melaksanakan kewajipan Allah SWT dan sabar dalam mengekang segala tuntutan hawa nafsu yang mendorong ke arah kejahatan.
2. Sabar dalam menegakkan dakwah serta mencari rezeki yang halal; Ertinya ia mampu berhadapan dalam segala rintangan dakwah dan tidak mudah terpesona dengan ganjaran dunia yang tidak dihalalkan.
3. Sabar dalam menerima takdir Allah dengan hati yang terbuka dan tunduk kepadaNya.
Namun menurut Hujjatul Islam Imam al-Ghazali:
“Hakikat sabar yang sebenar ialah dapat menahan penderitaan gangguan dan dapat menahan derita ketidaksenangan orang lain. Barang siapa yang mengeluh di atas buruknya perangai orang lain, itu menunjukkan atas buruk perangainya sendiri, kerana budi perkerti yang baik adalah sangggup menderita terhadap perkara-perkara yang tidak disenangi…”

3.Mahabbah ; Iaitu memusatkan segala perasaan kasih dan sayang kita kepada Allah SWT. Sebenarnya kita akan merasai ketenagan dalam setiap nafas dan saat kita bila mana kasih dan mahabbah kita tumpukan kepada Allah SWT. Seorang isteri telah mengadu dan memohon bantuan dari seorang ustaz mengenai suaminya yang telah berkahwin lain secara diam-diam… Jawapan ustaz tersebut, yang pertama sekali ialah: Suami telah berkahwin, takkan kita nak meruntuhkan masjid yang telah dibina, walaupun kita tidak bersetuju cara perkahwinan tersebut.. Namun langkah yang pertama yang perlu dibuat ialah redha dengan ketentuan Tuhan, suami adalah milik Allah Taala, bukan milik kita secara mutlak, hari ini diberi kepada kita untuk bahagia bersama suami tetapi esok,lusa tidak lagi… Pindahlah kasih sayang yang ditumpukan kepada suami 100% itu kepada kasih dan sayang kita kepada Allah…. In sya Allah .. Dia akan menurunkan ketenenangan ke dalam hati kita…Tanda kita kasih kepada Allah Taala ialah kita banyak mengingati-Nya… Bukankah Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Bukankah dengan mengingati Allah itu akan menenangkan hati”

            Sebenarnya apabila kita memindahkan kasih dan sayang kita dari makhluk kepada Sang Pencipta ……  Jiwa kita akan memperolehi satu kerehatan yang hakiki….Dalam masa yang sama tidak salah untuk kita menyayangi sesama makhluk.. tetapi cinta Allah itulah cinta yang hakiki…Satu lagi perkara yang perlu diperhatikan ialah….. Apabila kasih dan sayang kita tumpukan kepada seseorang sudah pasti segala-galanya ingin dikongsikan bersama.. kegembiraan atau kesedihan.. Begitulah kita dengan Allah Taala.. Bila kita kasih dan cintakan Allah, kita akan akan berkongsi segala-galanya dengan Allah… Jika mendapat kebaikan kita banyak bersyukur, memuji dan menyebut nama-Nya… Begitu juga jika kita dilanda kesedihan dan kedukaan..kita juga banyak mengadu kepada Allah Taala.. dan banyak menyerahkan urusan ini kepada-Nya…. Segala perkara yang kita rasa cukup berat selama ini kerana memikulnya seorang diri, terasa ringan… kerana kini, kita bukan keseorangan lagi dalam memikul bebanan ini.. tetapi kita ada Allah Tuhan yang Maha Kuasa… Tuhan yang Maha Penyayang dan Pengasih….. Jangan biarkan bebanan yang diterima menjadi senjata bagi syaitan untuk memasuki hati kita….

4.Khauf; merupakan satu sifat yang dituntut untuk dimiliki oleh setiap mukmin. Kekurangan sifat takut dalam jiwa manusia akan menyebabkan kita sanggup melakukan apa saja mengikut telunjuk syaitan dan nafsu…Sedangkan ketakutan yang berlebihan juga adalah bahaya kerana ia boleh menjadikan seorang itu pasif dalam segala tindakan…Ketakutan tidak akan berhasil tanpa ilmu.. Justeru… setiap mukmin tidak boleh mencuaikan dirinya daripada menuntut ilmu. Hanya dengan ilmu sahajalah yang akan menjadikan seorang hamba takut kepada Tuhannya sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Demi Tuhan yang diriku berada di tanganNya, Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, tentulah kamu banyak menangis dan sedikit tertawa” (Riwayat Bukhari)
dan juga sabda Baginda SAW:
“Demi Allah! Aku adalah orang yang paling tahu tentang Allah di antara kamu, dan akulah orang yang paling takut kepada-Nya di antara kamu” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Orang yang takut ialah orang yang sentiasa memerhatikan dengan penuh teliti setiap ayat-ayat Allah SWT dan juga Sabda Rasul junjungan SAW… supaya tidak tergelincir daripada landasan yang lurus… Dalam Kitab Tazkiah al-Nufus.Dr Ahmad Faridh menyebut bagaimana khauf ini sebenarnya mampu untuk membakar nafsu syahwat…sehingga ia menjadi takut untuk melakukan maksiat yang disukainya…percakapannya terjaga, pandangan, pemikiran dan segala-galanya terjaga…
Ketakutan Mesti Diiringi dengan amal. Bagaimana untuk memiliki hati yang sentiasa hidup dan sentiasa merasai ketakutan di hadapan Allah SWT..? Hati yang takut ialah hati yang hidup… iaitu hati yang sentiasa disirami dengan zikrullah dan alunan ayat-ayat suci al-Quran…Dr Aidh Abdullah al-Qarni dalam kitabnya “Ihfazillaha, Yahfazka” (Jagalah Allah, Allah Menjaga Kamu) menyebut:
"Betapa hati yang sunyi daripada alunan zikrullah dan kalamullah ini seumpama rumah yang dibiarkan kosong"
Rumah yang dibiarkan kosong akan didiami oleh segala makhluk yang bahaya seperti ular, kala jengkin dan sebagainya" …. Begitulah keadaannya hati, bila ia sunyi daripada zikrullah ia akan dipenuhi dengan segala sifat-sifat mazmumah seperti sombong, takabbur, ujub ……………
Di kesempatan ini… marilah kita merebut saat waktu yang masih terluang untuk kita… dengan sama-sama berusaha untuk melazimi khatam al-Quran sekurang-kurangnya satu juzuk sehari kerana murabbi-murabbi kita sentiasa berpesan:
Walau sesibuk mana sekalipun kamu, jangan lupa untuk basahi lidahmu setiap hari…
Serta kita juga dapat melazimi zikir pagi dan petang… Berazamlah supaya kita dapat istiqamah dalam beberapa amalan yang ringkas ini….kerana sesungguhnya ISTIQAMAH ITU LEBIH BAIK DARIPADA SERIBU KAROMAH…..
Sebagai mengakhiri tazkirah hari ini marilah kita sama-sama amati syair;

Janganlah engkau merasa aman daripada kematian!
Sedetik.. walaupun senafas..
Walaupun engkau halangi dengan segala hulubalang.
Dan penjaga..
Ia pasti akan menjenguk
Kepada setiap jiwa
Samada yang berpakaian perang
Ataupun yang berperisai
Engkau mengharap selamat
Sedangkan ia sentiasa memerhatikan Engkau
Bilakah tiba saatnya..
Di manakah tempatnya
Engkau pasti…
Akan menempuhnya..
Bersediakah engkau
ataupun tidak……

Saturday, 2 March 2013

Sukarnya mengurus sekeping hati

Siri I
Bismillahiramanirrahim…..

Alhamdulillah segala puji milik Allah, Tuhan yang memberikan anugerah untuk bersama-sama dalam usrah sebagai medan untuk mentarbiah diri, serta selawat dan salam ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad SAW, Rasul yang diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia… Keluarga dan para sahabat Baginda yang telah memperolehi didikan dan tarbiyah dari Rasul Junjungan SAW…..

Pada saat dan ketika ini, saya ingin mengajak diri saya dan sahabat pembaca terutama para remaja sekalian supaya dapat mengambil kesempatan untuk sama-sama meningkatkan kualiti diri ke arah meraih redha Allah Taala. Kita tidak mahu liqa’ usrah yang kita laksanakan hanya menjadi rutin atau adat kebiasaan tanpa ada peningkatan.Ingatlah, umur kita semakin hari semakin bertambah, usia menjadi singkat dan tanggungjawab semakin bertambah. Justeru , janganlah kita melengah-lengahkan usaha untuk menjadi hamba-Nya yang bertakwa, kerana tujuan pelaksanaan usrah sebenarnya adalah untuk mengislahkan diri bukan semata-mata ingin menghabiskan silibus yang ditetapkan.. apa gunanya silibus ok..tetapi jiwa dan rohani tidak ok..Janganlah setelah kita melalui usrah dan pelbagai peringkat tarbiyah dan menerima banyak pengalaman menjadikan kita seorang yang angkuh dan hilang rasa hormat kepada sahabat-sahabat yang lain…Sepatutnya dengan proses terbiyah yang kita lalui mampu menjadikan kita lebih tawduk dan menghormati orang lain..

Ingatlah , musuh utama kita adalah syaitan yang telah bersumpah dengan Allah Taala untuk menyesatkan anak Adam. Kita perlu sentiasa berwaspada supaya syaitan ini tidak bersarang di lubuk hati kita… Bila syaitan sudah membina mahligainya di dalam hati maka tunggulah kehancurannya. Kita akan tersungkur melainkan hati-hati yang telah diikhlaskan oleh Allah Taala dalam setiap amal yang kita lakukan.

Dalam dunia globalisasi hari ini, adalah terlalu sukar untuk kita melalui hari-hari dengan penuh rasa damai dan tenang tanpa gangguan yang akan merosakkan kita. Di mana saja kita berada…. Di jalanan, di sekolah, di dalam kenderaan awam, di pusat-pusat membeli belah hatta di rumah sendiri pun kita sentiasa terdedah kepada suasana yang akan menggoncangkan keimanan kita…. Bila begitu keadaannya… mana mungkin seorang pelajar dapat belajar dengan aman tanpa gangguan… dan  seorang ibu juga boleh merasa aman melepaskan anak kesayangannya untuk keluar rumah…. Mana mungkin seorang anak kecil dapat membesar tanpa dipengaruhi anasir-anasir yang merencatkan pembentukan individu muslim seorang insan…..

Hati tempat menerima ilmu

Sahabat ikhwan yang dirahmati Allah….
Kehidupan kita sehari-hari mestilah kena ada nilai tambah.. Justeru, seorang mukmin hendaklah sedaya upaya untuk menambahkan ilmu dalam setiap hari yang dilalui.. Rasulullah SAW sendiri mengaku dalam sabdanya:
“Apabila tiba hari yang baru dalam hidupku, sedangkan tiada satu ilmu pun yang boleh mendekatkan aku denga Allah Azza Wajalla, maka tiada sedikitpun keberkatan pada terbit matahari bagi diriku pada hari tersebut”

Ilmu merupakan suatu yang bersih dari Allah Taala yang diberikan kepada hamba-hambaNya… Ilmu umpama cahaya dari Ilahi.. Justeru setiap pencinta ilmu hendaklah menyediakan hati yang bersih dan tidak dikuasai oleh syaitan yang akan menghalang keberkatan ilmu itu kepada pemiliknya sendiri…. Atau menghalang terus ilmu diperolehi oleh seorang anak Adam…Di kesempatan yang sedikit ini saya cuba ingin sama-sama berkongsi dengan sahabat sekalian… Bagaimana untuk mengawal hati agar tidak dikuasai oleh syaitan, walaupun saya sendiri bukanlah orang yang layak untuk membicarakan masalah hati…tetapi sebagai perkongsian ilmu….

Hati yang tidak dikusai Syaitan
1.Ikhlas ; Ialah menyucikan niat selain dari Allah Taala dalam setiap perkara yang dilakukan. Seorang pelajar yang ingin menuntut ilmu hendaklah maniatkannya adalah kerana Allah Taala. Berkata Imam al-Ghazali RHM : “Seorang yang mencari ilmu kerana Allah adalah tanda ia takut kepada Allah Taala”.
            Keikhlasan adalah suatu perkara yang sukar… hari ini kita melakukan suatu perkara kerana Allah, mungkin esok atau lusa niatnya tersasar… Ini kerana fitrah bagi setiap hati manusia… sentiasa berubah dengan keadaan di sekeliling… Bukan saja penuntut ilmu, malah pemberi-pemberi ilmu juga tak terkecuali… mungkin inilah yang cuba dingatkan oleh Al-Marhumah Dr Lo’Lo’ Ghazali di saat akhir hayat beliau kepada ustaz-ustaz yang menziarahinya… supaya jangan menjadi ustaz sampul…Ertinya apa? Kalau sampulnya tebal saya akan terus menyampaikan kuliah dan berdakwah di sini… tapi kalau sampulnya nipis… jawapannya ;Ana sibuk, saya tak dapat hadir ke sini lagi kerana terlalu banyak urusan… Seorang rakan ustaz juga memberitahu; Ada seorang pendakwah bebas yang ingin dijemputnya berkuliah, tanpa segan silu dan secara terang-terangan bertanya ; Ustaz nak bayar saya berapa? Lalu jemputan itu terus dibatalkan oleh sahabat saya kerana beliau tidak mahu sifat mata duitan itu akan terkena tempiasnya kepada orang lain yang akan mendengar ceramah ustaz tersebut…
Seorang guru saya menceritakan bagaimana al-Syahid Ustaz Ibrahim Libya menguruskan hati beliau dari sebarang niat yang tidak ikhlas,….
Adalah menjadi kebiasaan bagi Al-Marhum ketika dalam kenderaan ke tempat-tempat kuliah… seandainya terlintas dalam hatinya sesuatu yang boleh mengganggu beliau daripada keikhlasan… Beliau akan berpatah balik ke rumah dan memasang niat kembali (niat kerana Allah ) sebelum turun untuk kali kedua ke tempat kuliah…
Allahu Rabbi…Terlalu kerdil diri kita jika nak dibandingkan dengan apa yang telah Beliau tunjukkan…
Pelbagai cara yang boleh di ambil untuk menjaga niat yang ikhlas kita kepada Allah SWT ;
Antaranya ialah dengan memelihara amal kita daripada sebarang sifat riak. Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam kitab beliau Khuluqul Muslim menyebut riak itu ada lima perkara ;
i. Riak dalam Tauhid; Golongan yang dikenali sebagai munafik yang menzahirkan Islam mereka dan menyembunyikan kekufuran mereka. Golongan ini di akhirat kelal tetap dimasukkan oleh Allah Taala ke dasar neraka.
ii. Riyak dalam melaksanakan amal ibadat; Tujuan untuk menarik perhatian manusia dengan puji-pujian atau mencari pengaruh dalam politik..Semasa saya dibangku sekolah pernah arwah datuk saya memberitahu ada orang politik yang datang ke kawasan kita menunaikan solat asar sebanyak tiga kali, setiap rumah yang diziarahnya, di situlah akan menunaikan solat asar… untuk apa semua itu..?
iii. Riyak dalam amalan-amalan sunat ; Saya sendiri kadang-kadang terganggu ketika menyampaikan kuliah dengan golongan yang kuat beribadat ini.. mereka berzikir dan membaca al-Quran dengan suara yang lantang… tidak ada kah waktu-waktu yang lain untuk berzikir… Begitu juga ketika imam membaca khutbah… Masih banyak lagi mereka ini berzikir dengan suara-suara yang lantang dan sekali gus mengganggu orang lain ….

iv.Riyak kerana menyebut suatu amal kebajikan yang dilakukannya di khalayak ramai; Riyak boleh membatalkan pahala amal..
v.Memperlihatkan kesungguhan dalam beribadat di khalayak ramai; Ia merendahkan suaranya dan memperlihatkan rasa khusyuk ketika beribadat malah membaca dengan bacaan yang panjang ketika menjadi imam supaya dikatakan seorang yang alim dan zuhud… Tiada suatu yang dilakukan pada amalnya ini melainkan supaya mendapat pujian….

Ketahuilah Islam melarang sekeras-kerasnya amalan yang dilakukan dengan  riyak yang bertujuan untuk mendapat perhatian dan penghargaan dari orang lain. Hayatilah kata-kata hikmat ini;
“Orang yang mempunyai harga diri yang tinggi tidak akan mengharapkan penghargaan daripada orang lain dalam setiap perkara yang dilakukannya dan  ia banyak menghargai orang lain…. Sebaliknya pula orang yang tidak punya harga diri sentiasa mengharapkan penghargaan dari orang lain dan sukar untuk memberi sebuah penghargaan kepada orang lain…"