Saturday, 2 March 2013

Sukarnya mengurus sekeping hati

Siri I
Bismillahiramanirrahim…..

Alhamdulillah segala puji milik Allah, Tuhan yang memberikan anugerah untuk bersama-sama dalam usrah sebagai medan untuk mentarbiah diri, serta selawat dan salam ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad SAW, Rasul yang diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia… Keluarga dan para sahabat Baginda yang telah memperolehi didikan dan tarbiyah dari Rasul Junjungan SAW…..

Pada saat dan ketika ini, saya ingin mengajak diri saya dan sahabat pembaca terutama para remaja sekalian supaya dapat mengambil kesempatan untuk sama-sama meningkatkan kualiti diri ke arah meraih redha Allah Taala. Kita tidak mahu liqa’ usrah yang kita laksanakan hanya menjadi rutin atau adat kebiasaan tanpa ada peningkatan.Ingatlah, umur kita semakin hari semakin bertambah, usia menjadi singkat dan tanggungjawab semakin bertambah. Justeru , janganlah kita melengah-lengahkan usaha untuk menjadi hamba-Nya yang bertakwa, kerana tujuan pelaksanaan usrah sebenarnya adalah untuk mengislahkan diri bukan semata-mata ingin menghabiskan silibus yang ditetapkan.. apa gunanya silibus ok..tetapi jiwa dan rohani tidak ok..Janganlah setelah kita melalui usrah dan pelbagai peringkat tarbiyah dan menerima banyak pengalaman menjadikan kita seorang yang angkuh dan hilang rasa hormat kepada sahabat-sahabat yang lain…Sepatutnya dengan proses terbiyah yang kita lalui mampu menjadikan kita lebih tawduk dan menghormati orang lain..

Ingatlah , musuh utama kita adalah syaitan yang telah bersumpah dengan Allah Taala untuk menyesatkan anak Adam. Kita perlu sentiasa berwaspada supaya syaitan ini tidak bersarang di lubuk hati kita… Bila syaitan sudah membina mahligainya di dalam hati maka tunggulah kehancurannya. Kita akan tersungkur melainkan hati-hati yang telah diikhlaskan oleh Allah Taala dalam setiap amal yang kita lakukan.

Dalam dunia globalisasi hari ini, adalah terlalu sukar untuk kita melalui hari-hari dengan penuh rasa damai dan tenang tanpa gangguan yang akan merosakkan kita. Di mana saja kita berada…. Di jalanan, di sekolah, di dalam kenderaan awam, di pusat-pusat membeli belah hatta di rumah sendiri pun kita sentiasa terdedah kepada suasana yang akan menggoncangkan keimanan kita…. Bila begitu keadaannya… mana mungkin seorang pelajar dapat belajar dengan aman tanpa gangguan… dan  seorang ibu juga boleh merasa aman melepaskan anak kesayangannya untuk keluar rumah…. Mana mungkin seorang anak kecil dapat membesar tanpa dipengaruhi anasir-anasir yang merencatkan pembentukan individu muslim seorang insan…..

Hati tempat menerima ilmu

Sahabat ikhwan yang dirahmati Allah….
Kehidupan kita sehari-hari mestilah kena ada nilai tambah.. Justeru, seorang mukmin hendaklah sedaya upaya untuk menambahkan ilmu dalam setiap hari yang dilalui.. Rasulullah SAW sendiri mengaku dalam sabdanya:
“Apabila tiba hari yang baru dalam hidupku, sedangkan tiada satu ilmu pun yang boleh mendekatkan aku denga Allah Azza Wajalla, maka tiada sedikitpun keberkatan pada terbit matahari bagi diriku pada hari tersebut”

Ilmu merupakan suatu yang bersih dari Allah Taala yang diberikan kepada hamba-hambaNya… Ilmu umpama cahaya dari Ilahi.. Justeru setiap pencinta ilmu hendaklah menyediakan hati yang bersih dan tidak dikuasai oleh syaitan yang akan menghalang keberkatan ilmu itu kepada pemiliknya sendiri…. Atau menghalang terus ilmu diperolehi oleh seorang anak Adam…Di kesempatan yang sedikit ini saya cuba ingin sama-sama berkongsi dengan sahabat sekalian… Bagaimana untuk mengawal hati agar tidak dikuasai oleh syaitan, walaupun saya sendiri bukanlah orang yang layak untuk membicarakan masalah hati…tetapi sebagai perkongsian ilmu….

Hati yang tidak dikusai Syaitan
1.Ikhlas ; Ialah menyucikan niat selain dari Allah Taala dalam setiap perkara yang dilakukan. Seorang pelajar yang ingin menuntut ilmu hendaklah maniatkannya adalah kerana Allah Taala. Berkata Imam al-Ghazali RHM : “Seorang yang mencari ilmu kerana Allah adalah tanda ia takut kepada Allah Taala”.
            Keikhlasan adalah suatu perkara yang sukar… hari ini kita melakukan suatu perkara kerana Allah, mungkin esok atau lusa niatnya tersasar… Ini kerana fitrah bagi setiap hati manusia… sentiasa berubah dengan keadaan di sekeliling… Bukan saja penuntut ilmu, malah pemberi-pemberi ilmu juga tak terkecuali… mungkin inilah yang cuba dingatkan oleh Al-Marhumah Dr Lo’Lo’ Ghazali di saat akhir hayat beliau kepada ustaz-ustaz yang menziarahinya… supaya jangan menjadi ustaz sampul…Ertinya apa? Kalau sampulnya tebal saya akan terus menyampaikan kuliah dan berdakwah di sini… tapi kalau sampulnya nipis… jawapannya ;Ana sibuk, saya tak dapat hadir ke sini lagi kerana terlalu banyak urusan… Seorang rakan ustaz juga memberitahu; Ada seorang pendakwah bebas yang ingin dijemputnya berkuliah, tanpa segan silu dan secara terang-terangan bertanya ; Ustaz nak bayar saya berapa? Lalu jemputan itu terus dibatalkan oleh sahabat saya kerana beliau tidak mahu sifat mata duitan itu akan terkena tempiasnya kepada orang lain yang akan mendengar ceramah ustaz tersebut…
Seorang guru saya menceritakan bagaimana al-Syahid Ustaz Ibrahim Libya menguruskan hati beliau dari sebarang niat yang tidak ikhlas,….
Adalah menjadi kebiasaan bagi Al-Marhum ketika dalam kenderaan ke tempat-tempat kuliah… seandainya terlintas dalam hatinya sesuatu yang boleh mengganggu beliau daripada keikhlasan… Beliau akan berpatah balik ke rumah dan memasang niat kembali (niat kerana Allah ) sebelum turun untuk kali kedua ke tempat kuliah…
Allahu Rabbi…Terlalu kerdil diri kita jika nak dibandingkan dengan apa yang telah Beliau tunjukkan…
Pelbagai cara yang boleh di ambil untuk menjaga niat yang ikhlas kita kepada Allah SWT ;
Antaranya ialah dengan memelihara amal kita daripada sebarang sifat riak. Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam kitab beliau Khuluqul Muslim menyebut riak itu ada lima perkara ;
i. Riak dalam Tauhid; Golongan yang dikenali sebagai munafik yang menzahirkan Islam mereka dan menyembunyikan kekufuran mereka. Golongan ini di akhirat kelal tetap dimasukkan oleh Allah Taala ke dasar neraka.
ii. Riyak dalam melaksanakan amal ibadat; Tujuan untuk menarik perhatian manusia dengan puji-pujian atau mencari pengaruh dalam politik..Semasa saya dibangku sekolah pernah arwah datuk saya memberitahu ada orang politik yang datang ke kawasan kita menunaikan solat asar sebanyak tiga kali, setiap rumah yang diziarahnya, di situlah akan menunaikan solat asar… untuk apa semua itu..?
iii. Riyak dalam amalan-amalan sunat ; Saya sendiri kadang-kadang terganggu ketika menyampaikan kuliah dengan golongan yang kuat beribadat ini.. mereka berzikir dan membaca al-Quran dengan suara yang lantang… tidak ada kah waktu-waktu yang lain untuk berzikir… Begitu juga ketika imam membaca khutbah… Masih banyak lagi mereka ini berzikir dengan suara-suara yang lantang dan sekali gus mengganggu orang lain ….

iv.Riyak kerana menyebut suatu amal kebajikan yang dilakukannya di khalayak ramai; Riyak boleh membatalkan pahala amal..
v.Memperlihatkan kesungguhan dalam beribadat di khalayak ramai; Ia merendahkan suaranya dan memperlihatkan rasa khusyuk ketika beribadat malah membaca dengan bacaan yang panjang ketika menjadi imam supaya dikatakan seorang yang alim dan zuhud… Tiada suatu yang dilakukan pada amalnya ini melainkan supaya mendapat pujian….

Ketahuilah Islam melarang sekeras-kerasnya amalan yang dilakukan dengan  riyak yang bertujuan untuk mendapat perhatian dan penghargaan dari orang lain. Hayatilah kata-kata hikmat ini;
“Orang yang mempunyai harga diri yang tinggi tidak akan mengharapkan penghargaan daripada orang lain dalam setiap perkara yang dilakukannya dan  ia banyak menghargai orang lain…. Sebaliknya pula orang yang tidak punya harga diri sentiasa mengharapkan penghargaan dari orang lain dan sukar untuk memberi sebuah penghargaan kepada orang lain…"

No comments:

Post a Comment