tinta USRAH
"Jika kamu yakin perjalanan yang kamu lalui ini benar, maka berkorbanlah apa saja.. harta atau nyawa..TAPI jika kamu tidak yakin dengan perjalanan ini..Janganlah berlengah lagi tinggalkan saja perjuangan ini..kerana suatu janji yang pasti akan sentiasa ada satu LEGASI yang meneruskan perjalanan ini" - Musafir Faqir
Saturday, 11 May 2013
Tuesday, 12 March 2013
Sukarnya mengurus sekeping hati - Siri 2
Siri 2
2.Sabar ; Satu perkataan yang
senang diucap tetapi sukar untuk diamalkan.. Ya, kita mungkin mampu untuk
menasihati orang lain supaya bersabar.. namun kesabaran itu akan teruji jika
sekiranya musibah atau apa saja keburukan yang menimpa kita.
Sabar merupakan sendi kekuatan bagi seorang
mukmin....Ianya bukan semudah yang diucapkan tetapi ianya perlu kepada
latihan.. kesabaran tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan keazaman yang
sungguh dari seorang mukmin… Cuba kita perhatikan bagaimanakah orang-orang
soleh menguruskan kesabaran untuk diri mereka… apabila berlaku sesuatu perkara
yang tidak dingini atau musibah, mereka terus memandang perkara tersebut
sebagai satu ujian dari Tuhan terhadap hamba-Nya.... Bagi mereka, ujian adalah
tanda kasih Allah Taala kepada mereka… Bagi mereka juga, ujian adalah untuk
meningkatkan keimanan seorang hamba di sisi Tuhannya..
Ikhwan yang dirahmati Allah sekalian..
Yakinlah Allah SWT tidak akan memberi suatu ujian
kepada hamba-Nya diluar kemampuan kita….Ujian dari Allah adalah mengikut
kemampuan diri kita..Malah kita diajar untuk berdoa dengan doa “ Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kami
dengan satu ujian yang kami sendiri tidak mampu menganggungnya”
Seorang ibu diuji dengan kehilangan anak, seorang
pelajar diuji dengan kegagalan dalam peperiksaan, seorang bapa ketua keluarga
diuji dengan karenah anak-anak yang didik dan pelbagai bentuk ujian
lagi…Bentuk-bentuk kesabaran yang terdapat dalam al-Quran pula adalah seperti
berikut :
1. Sabar dalam melaksanakan kewajipan Allah SWT dan
sabar dalam mengekang segala tuntutan hawa nafsu yang mendorong ke arah
kejahatan.
2. Sabar dalam menegakkan dakwah serta mencari
rezeki yang halal; Ertinya ia mampu berhadapan dalam segala rintangan dakwah
dan tidak mudah terpesona dengan ganjaran dunia yang tidak dihalalkan.
3. Sabar dalam menerima takdir Allah dengan hati
yang terbuka dan tunduk kepadaNya.
Namun menurut Hujjatul Islam Imam
al-Ghazali:
“Hakikat sabar yang
sebenar ialah dapat menahan penderitaan gangguan dan dapat menahan derita
ketidaksenangan orang lain. Barang siapa yang mengeluh di atas buruknya
perangai orang lain, itu menunjukkan atas buruk perangainya sendiri, kerana
budi perkerti yang baik adalah sangggup menderita terhadap perkara-perkara yang
tidak disenangi…”
3.Mahabbah ;
Iaitu memusatkan segala perasaan kasih dan sayang kita kepada Allah SWT.
Sebenarnya kita akan merasai ketenagan dalam setiap nafas dan saat kita bila
mana kasih dan mahabbah kita tumpukan kepada Allah SWT. Seorang isteri telah
mengadu dan memohon bantuan dari seorang ustaz mengenai suaminya yang telah berkahwin
lain secara diam-diam… Jawapan ustaz tersebut, yang pertama sekali ialah:
Suami telah berkahwin, takkan kita nak meruntuhkan masjid yang telah dibina, walaupun
kita tidak bersetuju cara perkahwinan tersebut.. Namun langkah yang pertama
yang perlu dibuat ialah redha dengan ketentuan Tuhan, suami adalah milik Allah
Taala, bukan milik kita secara mutlak, hari ini diberi kepada kita untuk
bahagia bersama suami tetapi esok,lusa tidak lagi… Pindahlah kasih sayang yang
ditumpukan kepada suami 100% itu kepada kasih dan sayang kita kepada Allah…. In
sya Allah .. Dia akan menurunkan ketenenangan ke dalam hati kita…Tanda kita
kasih kepada Allah Taala ialah kita banyak mengingati-Nya… Bukankah Allah SWT
telah berfirman yang bermaksud:
“Bukankah dengan
mengingati Allah itu akan menenangkan hati”
Sebenarnya apabila kita memindahkan
kasih dan sayang kita dari makhluk kepada Sang Pencipta …… Jiwa kita akan
memperolehi satu kerehatan yang hakiki….Dalam masa yang sama tidak salah untuk
kita menyayangi sesama makhluk.. tetapi cinta Allah itulah cinta yang
hakiki…Satu lagi perkara yang perlu diperhatikan ialah….. Apabila kasih dan
sayang kita tumpukan kepada seseorang sudah pasti segala-galanya ingin
dikongsikan bersama.. kegembiraan atau kesedihan.. Begitulah kita dengan Allah
Taala.. Bila kita kasih dan cintakan Allah, kita akan akan berkongsi
segala-galanya dengan Allah… Jika mendapat kebaikan kita banyak bersyukur, memuji
dan menyebut nama-Nya… Begitu juga jika kita dilanda kesedihan dan
kedukaan..kita juga banyak mengadu kepada Allah Taala.. dan banyak menyerahkan
urusan ini kepada-Nya…. Segala perkara yang kita rasa cukup berat selama ini
kerana memikulnya seorang diri, terasa ringan… kerana kini, kita bukan
keseorangan lagi dalam memikul bebanan ini.. tetapi kita ada Allah Tuhan yang
Maha Kuasa… Tuhan yang Maha Penyayang dan Pengasih….. Jangan biarkan bebanan
yang diterima menjadi senjata bagi syaitan untuk memasuki hati kita….
4.Khauf;
merupakan satu sifat yang dituntut untuk dimiliki oleh setiap mukmin.
Kekurangan sifat takut dalam jiwa manusia akan menyebabkan kita sanggup
melakukan apa saja mengikut telunjuk syaitan dan nafsu…Sedangkan ketakutan yang
berlebihan juga adalah bahaya kerana ia boleh menjadikan seorang itu pasif
dalam segala tindakan…Ketakutan tidak akan berhasil tanpa ilmu.. Justeru…
setiap mukmin tidak boleh mencuaikan dirinya daripada menuntut ilmu. Hanya
dengan ilmu sahajalah yang akan menjadikan seorang hamba takut kepada Tuhannya
sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Demi Tuhan
yang diriku berada di tanganNya, Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku
ketahui, tentulah kamu banyak menangis dan sedikit tertawa” (Riwayat Bukhari)
dan juga sabda Baginda SAW:
“Demi Allah!
Aku adalah orang yang paling tahu tentang Allah di antara kamu, dan akulah
orang yang paling takut kepada-Nya di antara kamu” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang yang takut ialah orang yang sentiasa
memerhatikan dengan penuh teliti setiap ayat-ayat Allah SWT dan juga Sabda
Rasul junjungan SAW… supaya tidak tergelincir daripada landasan yang lurus…
Dalam Kitab Tazkiah al-Nufus.Dr Ahmad Faridh menyebut bagaimana khauf ini
sebenarnya mampu untuk membakar nafsu syahwat…sehingga ia menjadi takut untuk
melakukan maksiat yang disukainya…percakapannya terjaga, pandangan, pemikiran
dan segala-galanya terjaga…
Ketakutan Mesti Diiringi dengan amal. Bagaimana
untuk memiliki hati yang sentiasa hidup dan sentiasa merasai ketakutan di
hadapan Allah SWT..? Hati yang takut ialah hati yang hidup… iaitu hati yang
sentiasa disirami dengan zikrullah dan alunan ayat-ayat suci al-Quran…Dr Aidh
Abdullah al-Qarni dalam kitabnya “Ihfazillaha, Yahfazka” (Jagalah Allah, Allah
Menjaga Kamu) menyebut:
"Betapa hati yang sunyi daripada
alunan zikrullah dan kalamullah ini seumpama rumah yang dibiarkan kosong"…
Rumah yang dibiarkan kosong akan didiami oleh
segala makhluk yang bahaya seperti ular, kala jengkin dan sebagainya" ….
Begitulah keadaannya hati, bila ia sunyi daripada zikrullah ia akan dipenuhi
dengan segala sifat-sifat mazmumah seperti sombong, takabbur, ujub ……………
Di
kesempatan ini… marilah kita merebut saat waktu yang masih
terluang untuk kita… dengan sama-sama berusaha untuk melazimi khatam al-Quran
sekurang-kurangnya satu juzuk sehari kerana murabbi-murabbi kita sentiasa
berpesan:
Walau sesibuk mana sekalipun kamu, jangan lupa
untuk basahi lidahmu setiap hari…
Serta kita juga dapat melazimi zikir pagi dan
petang… Berazamlah supaya kita dapat istiqamah dalam beberapa amalan yang
ringkas ini….kerana sesungguhnya ISTIQAMAH ITU LEBIH BAIK DARIPADA SERIBU
KAROMAH…..
Sebagai mengakhiri tazkirah hari ini marilah kita
sama-sama amati syair;
Janganlah engkau
merasa aman daripada kematian!
Sedetik.. walaupun
senafas..
Walaupun engkau
halangi dengan segala hulubalang.
Dan penjaga..
Ia pasti akan
menjenguk
Kepada setiap jiwa
Samada yang
berpakaian perang
Ataupun yang
berperisai
Engkau mengharap
selamat
Sedangkan ia
sentiasa memerhatikan Engkau
Bilakah tiba
saatnya..
Di manakah
tempatnya
Engkau pasti…
Akan menempuhnya..
Bersediakah engkau
ataupun tidak……
Saturday, 2 March 2013
Sukarnya mengurus sekeping hati
Siri I
Bismillahiramanirrahim…..
Alhamdulillah segala puji milik Allah, Tuhan yang memberikan anugerah untuk bersama-sama dalam usrah sebagai medan untuk mentarbiah diri, serta selawat dan salam ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad SAW, Rasul yang diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia… Keluarga dan para sahabat Baginda yang telah memperolehi didikan dan tarbiyah dari Rasul Junjungan SAW…..

Ingatlah , musuh utama kita adalah syaitan yang telah bersumpah dengan Allah Taala untuk menyesatkan anak Adam. Kita perlu sentiasa berwaspada supaya syaitan ini tidak bersarang di lubuk hati kita… Bila syaitan sudah membina mahligainya di dalam hati maka tunggulah kehancurannya. Kita akan tersungkur melainkan hati-hati yang telah diikhlaskan oleh Allah Taala dalam setiap amal yang kita lakukan.
Dalam dunia globalisasi hari ini, adalah terlalu sukar untuk kita melalui hari-hari dengan penuh rasa damai dan tenang tanpa gangguan yang akan merosakkan kita. Di mana saja kita berada…. Di jalanan, di sekolah, di dalam kenderaan awam, di pusat-pusat membeli belah hatta di rumah sendiri pun kita sentiasa terdedah kepada suasana yang akan menggoncangkan keimanan kita…. Bila begitu keadaannya… mana mungkin seorang pelajar dapat belajar dengan aman tanpa gangguan… dan seorang ibu juga boleh merasa aman melepaskan anak kesayangannya untuk keluar rumah…. Mana mungkin seorang anak kecil dapat membesar tanpa dipengaruhi anasir-anasir yang merencatkan pembentukan individu muslim seorang insan…..
Hati tempat menerima ilmu
Sahabat ikhwan yang dirahmati Allah….
Kehidupan kita sehari-hari mestilah kena ada nilai tambah.. Justeru, seorang mukmin hendaklah sedaya upaya untuk menambahkan ilmu dalam setiap hari yang dilalui.. Rasulullah SAW sendiri mengaku dalam sabdanya:
“Apabila tiba hari yang baru dalam hidupku, sedangkan tiada satu ilmu pun yang boleh mendekatkan aku denga Allah Azza Wajalla, maka tiada sedikitpun keberkatan pada terbit matahari bagi diriku pada hari tersebut”
Ilmu merupakan suatu yang bersih dari Allah Taala yang diberikan kepada hamba-hambaNya… Ilmu umpama cahaya dari Ilahi.. Justeru setiap pencinta ilmu hendaklah menyediakan hati yang bersih dan tidak dikuasai oleh syaitan yang akan menghalang keberkatan ilmu itu kepada pemiliknya sendiri…. Atau menghalang terus ilmu diperolehi oleh seorang anak Adam…Di kesempatan yang sedikit ini saya cuba ingin sama-sama berkongsi dengan sahabat sekalian… Bagaimana untuk mengawal hati agar tidak dikuasai oleh syaitan, walaupun saya sendiri bukanlah orang yang layak untuk membicarakan masalah hati…tetapi sebagai perkongsian ilmu….
Hati yang tidak dikusai Syaitan
1.Ikhlas ; Ialah menyucikan niat selain dari Allah Taala dalam setiap perkara yang dilakukan. Seorang pelajar yang ingin menuntut ilmu hendaklah maniatkannya adalah kerana Allah Taala. Berkata Imam al-Ghazali RHM : “Seorang yang mencari ilmu kerana Allah adalah tanda ia takut kepada Allah Taala”.
Keikhlasan adalah suatu perkara yang sukar… hari ini kita melakukan suatu perkara kerana Allah, mungkin esok atau lusa niatnya tersasar… Ini kerana fitrah bagi setiap hati manusia… sentiasa berubah dengan keadaan di sekeliling… Bukan saja penuntut ilmu, malah pemberi-pemberi ilmu juga tak terkecuali… mungkin inilah yang cuba dingatkan oleh Al-Marhumah Dr Lo’Lo’ Ghazali di saat akhir hayat beliau kepada ustaz-ustaz yang menziarahinya… supaya jangan menjadi ustaz sampul…Ertinya apa? Kalau sampulnya tebal saya akan terus menyampaikan kuliah dan berdakwah di sini… tapi kalau sampulnya nipis… jawapannya ;Ana sibuk, saya tak dapat hadir ke sini lagi kerana terlalu banyak urusan… Seorang rakan ustaz juga memberitahu; Ada seorang pendakwah bebas yang ingin dijemputnya berkuliah, tanpa segan silu dan secara terang-terangan bertanya ; Ustaz nak bayar saya berapa? Lalu jemputan itu terus dibatalkan oleh sahabat saya kerana beliau tidak mahu sifat mata duitan itu akan terkena tempiasnya kepada orang lain yang akan mendengar ceramah ustaz tersebut…
Seorang guru saya menceritakan bagaimana al-Syahid Ustaz Ibrahim Libya menguruskan hati beliau dari sebarang niat yang tidak ikhlas,….
Adalah menjadi kebiasaan bagi Al-Marhum ketika dalam kenderaan ke tempat-tempat kuliah… seandainya terlintas dalam hatinya sesuatu yang boleh mengganggu beliau daripada keikhlasan… Beliau akan berpatah balik ke rumah dan memasang niat kembali (niat kerana Allah ) sebelum turun untuk kali kedua ke tempat kuliah…
Allahu Rabbi…Terlalu kerdil diri kita jika nak dibandingkan dengan apa yang telah Beliau tunjukkan…
Pelbagai cara yang boleh di ambil untuk menjaga niat yang ikhlas kita kepada Allah SWT ;
Antaranya ialah dengan memelihara amal kita daripada sebarang sifat riak. Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam kitab beliau Khuluqul Muslim menyebut riak itu ada lima perkara ;
i. Riak dalam Tauhid; Golongan yang dikenali sebagai munafik yang menzahirkan Islam mereka dan menyembunyikan kekufuran mereka. Golongan ini di akhirat kelal tetap dimasukkan oleh Allah Taala ke dasar neraka.
ii. Riyak dalam melaksanakan amal ibadat; Tujuan untuk menarik perhatian manusia dengan puji-pujian atau mencari pengaruh dalam politik..Semasa saya dibangku sekolah pernah arwah datuk saya memberitahu ada orang politik yang datang ke kawasan kita menunaikan solat asar sebanyak tiga kali, setiap rumah yang diziarahnya, di situlah akan menunaikan solat asar… untuk apa semua itu..?
iii. Riyak dalam amalan-amalan sunat ; Saya sendiri kadang-kadang terganggu ketika menyampaikan kuliah dengan golongan yang kuat beribadat ini.. mereka berzikir dan membaca al-Quran dengan suara yang lantang… tidak ada kah waktu-waktu yang lain untuk berzikir… Begitu juga ketika imam membaca khutbah… Masih banyak lagi mereka ini berzikir dengan suara-suara yang lantang dan sekali gus mengganggu orang lain ….
v.Memperlihatkan kesungguhan dalam beribadat di khalayak ramai; Ia merendahkan suaranya dan memperlihatkan rasa khusyuk ketika beribadat malah membaca dengan bacaan yang panjang ketika menjadi imam supaya dikatakan seorang yang alim dan zuhud… Tiada suatu yang dilakukan pada amalnya ini melainkan supaya mendapat pujian….
Ketahuilah Islam melarang sekeras-kerasnya amalan yang dilakukan dengan riyak yang bertujuan untuk mendapat perhatian dan penghargaan dari orang lain. Hayatilah kata-kata hikmat ini;
“Orang yang mempunyai harga diri yang tinggi tidak akan mengharapkan penghargaan daripada orang lain dalam setiap perkara yang dilakukannya dan ia banyak menghargai orang lain…. Sebaliknya pula orang yang tidak punya harga diri sentiasa mengharapkan penghargaan dari orang lain dan sukar untuk memberi sebuah penghargaan kepada orang lain…"
Thursday, 28 February 2013
Sekiranya kamu menolong Allah, Allah pasti akan menolong kamu
Alhamdulillah..syukur kehadrat Ilahi..
kerana pada pagi diberi keizinan untuk sama-sama kita berkongsi ilmu dan
pengalaman dalam medium maya ini…. Setiap muslim yang meyakini Muhammad SAW
sebagai Rasulnya.. pasti akan cuba meningkatkan kualitinya pada setiap hari
samaada dengan mencari ilmu atau menambahkan amal-amal kebajikan untuk tuaian
pada hari esok..
Kelebihan
ilmu tidak dapat disangkal lagi….boleh jadi inilah yang menjadikan Abdullah
ibnu Mubarak memberi jawapan yang agak sedikit pelik bila ditanya oleh
seseorang: “Apakah yang akan kamu lakukan sekiranya kamu tahu bahawa tarikh dan
saat kematian kini telah hampir”. Jawab Beliau:
“Sekiranya aku tahu bahawa saat kematian aku telah hampir,
pastinya bermula saat ini sehinggalah tempoh ajalku tiba, aku penuhi saat itu
dalam majlis untuk mencari ilmu Allah Taala”.
Kita
mengharapkan agar ilmu yang kita perolehi selari dengan hidayah daripada Allah
SWT. Pada saat dan ketika artikel ini ditulis…gendang Pilihanraya yang ke-13
semakin rancak dipalu… Semua golongan tidak melepaskan peluang untuk menjadi
sebahagian daripada penyumbang kepada suasana PRU nanti.. Sama ada penyertaan
mereka untuk mendapat habuan dunia atau menanti janji Allah SWT..
Saudara/ri
ikhwan yang dirahmati sekalian, Jika sekiranya penyertaan kita itu adalah
kerana menuntut janji-janji Allah… Maka berkewajipan ke atas kita untuk
mengkaji apakah pra-syarat yang perlu ada kepada kita sebelum diberi kemenangan
Allah SWT dalam PRU nanti..semoga pengisytiharan Allah SWT dalam surah Muhammad
yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman,
jika kamu menolong Allah, pasti Allah akan menolong kamu (untuk mencapai
kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”
(Surah
Muhammad 45: 7)
akan dapat direalisasikan…
Kita semua meyakini dengan janji ini. Namun
Sejauh manakah sumbangan yang kita telah wakafkan untuk agama Allah sehingga
melayakkan kita mendapat anugerah kemenangan daripada Allah SWT.. Sebulan yang
lalu, saya pernah bertemu secara empat mata dengan seorang ulama’ melayu yang
banyak menghabiskan umurnya di Makkah…Beliau merupakan anak Melayu yang terawal
berada di Makkah sehinggalah sekarang iaitu semenjak tahun 1965 lagi beliau
menetap di sana..Kata Beliau:
“Kita
perlu yakin, sekiranya orang mukmin menolong agama Allah, Allah pasti akan
menolong mereka. Namun jika kita telah banyak memberi sumbangan kepada agama
Allah…..tiba-tiba kita dapati (secara
zahirnya) Allah SWT tidak menolong kita, itu bermakna pertolongan kita kepada
agama Allah masih jauh”
(Tuan Guru Hj Mat Faqir)
Mungkin di sana masih banyak pra-syarat yang kita
tidak penuhi sehingga melayakkan kita diberi kemenangan oleh Allah SWT….dalam kitab
Risalah Maahad al-Dakwah al-Islamiyyah ada menyebut tentang pra syarat
kemenangan:
1.
Mencintai
Allah lebih daripada segala-galanya..sehingga Allah juga mencintai kita. Jesteru, jika kita ingin bekerja untuk Islam, bersihlah segala
anasir-anasir yang lain selain keredhaan Allah Taala. Jangan sekali-kali
menggunakan agama untuk dunia… Jika kita merasa jijik dengan beberapa kerat
golongan agama yang menjual fatwa-fatwa murahan sejak akhir-akhir ini..Kita
juga perlu berwaspada..
Memang sikap sukakan pujian, pangkat dan harta amat menggiurkan
setiap manusia… Namun kita perlu berusaha untuk menghindarinya… kerana itulah
yang dinamakan ujian… Tujuan Allah Taala menjadikan mati dan hidup adalah untuk
menguji manusia..Susah adalah ujian, senang juga ujian…
2.
Bersikap
lemah lembut sesama kita.. iaitu kita dituntut
untuk tolong menolong atas dasar iman dan taqwa.. Bukan bersatu di atas dasar
jahiliyah dan taghut…
3. Kita perlu bersatu padu…Perpecahan dan perbalahan dalam kalangan kita sendiri akan memberi
ruang kepada musuh-musuh Islam untuk mengalahkan kita…Tidak perlu ada rasa iri
hati dan dengki dengan kelebihan yang ada pada sahabat perjuangan, kerana
penilaian Allah SWT nanti ialah sejauh manakah sumbangan tenaga, harta dan jiwa
yang ikhlas daripda seorang hamba.
4. Kita perlu bertegas dengan golongan yang
memusuhi Islam…sehingga golongan ini tidak lagi
berani menghina dan menindas umat Islam sesuka hati mereka..Kita punyai
prinsip..jangan sehigga prinsip Islam ini digadai…
5. Tidak perlu berasa gentar dan takut pada
musuh ketika berjihad… kerana kita punya Allah yang
Maha Kuasa… Kita juga punya cita-cita tertinggi iaitu untuk mati sebagai
syuhada’. Jika kita menyerahkan urusan kita kepada Allah..yakinlah segala apa
yang sukar dan susah akan menjadi ringan.
6. Seorang Mujahid perlu meyemai sifat sabar
dan cekal dalam diri bagi menjamin kesinambungannya dalam medan jihad dan
dakwah.. kerana tabiat perjuangan itu bukanlah
singkat, tetapi memakan masa yang lama untuk mencapai kemenangan…
“Jika kita mati, sebelum Islam diberi kemenangan, pastikan diri kita
terlebih dahulu mengecapi kemenangan kerana membawa sekeping hati yang ikhlas
ketika berjuang di atas dunia”
7.
Sentiasa
bersedia mengahadapi risiko sepanjang perjuangan sama ada senang atau susah… Kadang-kadang kita berjaya dengan dengan cabaran yang susah, tetapi
kita tewas dengan ujian kesenangan..
8.
Keyakinan
hanyalah pada Allah..Walaupun pelbagai rancangan
jahat oleh musuh termasuk penipuan yang tak berkesudahan…tawaran wang ringgit kepada
rakyat jelata.. dan pelbagai usaha lagi… Namun jika Allah Taala kehendaki
mereka tewas… mereka pasti tewas.. setelah kita bekerja dan berusaha.. Ini
semua tidak melemahkan kita…
Cuba kita lihat negara Mesir,
saya berekesempatan untuk belajar di sana… semasa di sana, saya melihat Rejim
Sekular yang memerintah Mesir pada waktu terlalu sukar untuk diruntuhkan
berdasarkan kepada tekanan-tekanan yang dikenakan kepada mana-mana rakyat yang
cuba untuk untuk bangkit..Tekanan-tekanan yang dikenakan terlalu ketat sehingga
kami tertanya-tanya bilakah fajar Islam akan menyingsing di bumi Mesir..Tetapi
kuasa Allah mengatasi segala-galanya.. setelah 84 tahun sahabat-sahabat mujahid
dalam Ikhwan Muslimin berjuang tanpa kenal penat dan lelah, letih dan kecewa
akhirnya Allah memberikan kemenangan kepada mereka..Kita juga mengharapkan
kebangkitan Islam di seluruh dunia akan tersebar juga ke Negara kita menjelang
PRU ke-13 nanti…Amin..
9.
Sentiasalah
menjadikan Rasul dan orang-orang yang beriman dalam kalangan kita sebagai
pemimpin dan rujukan dalam setiap tindak tanduk
kita…dalam perjuangan..
10. Sentiasa bertawakal dan berharap hanyalah
kepada Allah.. Dalam kita berjuang jangan lupa
hubungan kita dengan Allah.. Berdisiplinlah dalam menunaikan tanggungjawab kita
sebagai hamba kepada Allah SWT, jangan sekali sibuk berjuang tetapi hubungan
dengan Sang Pencipta tidak dipelihara…
“Jagalah Allah,
Allah pasti akan menjaga kamu”
Semoga
dengan sedikit perkongsian ini, dapat memberi manfaat pada semua terutama pada diri saya
sendiri..
Sekian,
wassalam.
Sunday, 24 February 2013
Membentuk BAITI JANNATI melalui Usrah
Setiap muslim pastinya akan mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua. Ini kerana seandainya kita meneropong kepada sirah perjalanan Nabi SAW pastinya kita akan dapati sejambak pengajaran yang cukup sempurna untuk setiap muslim ikuti termasuklah dalam hal-hal menguruskan rumahtangga. Allah SWT juga sebenarnya mensyariatkan perkahwinan dalam Islam ialah supaya manusia mendapat kebahagian dan ketenangan hasil daripda perkahwinan tersebut. Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa ia menjadikan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(Surah al-Rum 30: 21)
Terdapat tiga asas utama yang dapat diberi perhatian dalam ayat tersebut :
I. Pembentukan keluarga sakinah. Ini bererti setiap ahli keluarga yang hidup bersama akan merasai ketenangan dan ketenteraman. Mereka semua sentiasa berusaha untuk menyelesaikan setiap masalah secara bersama demi mencapai sebuah ketenangan dan kedamaian dalam keluarga.
II. Mawaddah iaitu cinta yang bertambah-tambah : Ertinya setiap ahli keluarga akan merasai kehangatan cinta dan kasih sayang, saling hormat menghormati, saling membimbing antara satu sama lain dan saling menampung setiap kekurangan yang ada pada setiap ahli keluarga.
III. Pembentukan sebuah keluarga yang penuh dengan rahmah dari Allah SWT iaitu pergaulan setiap ahli keluarga dalam suasana yang harmoni dalam suasana berkasih sayang, hormat menghormati dan saling mencintai antara satu sama lain sehingga merasakan kehidupan bekeluarga umpama syurga yang bertepatan dengan ungkapan Rasulullah SAW : “Baiti Jannati” iaitu “Rumahku Syurgaku”.
Perkahwinan merupakan satu perjudian dalam hidup. Apabila seorang lelaki dan perempuan bersetuju untuk hidup bersama bererti mereka juga sebenarnya bersetuju untuk mengaharungi bahtera rumahtangga bersama-sama. Mengharungi bahtera rumahtangga ibarat mengharungi sebuah lautan yang luas, penuh dangan badai dan gelombang. Bahtera yang dinaiki pastinya akan selamat walaupun badai dan gelombang yang ditempuhi begitu dahsyat apabila nahkoda dan anak-anak kapalnya saling memahami tugas masing-masing dan dibekalkan ilmu pelayaran yang mencukupi.
Begitu juga melayari sebuah bahtera rumahtangga, memerlukan ilmu yang mencukupi supaya setiap ahli keluarga memahami tugas dan peranan masing-masing. Rasulullah SAW juga meletakkan keilmuan sebagai menjadi syarat yang utama yang akan menjadi sinar kepada pembentukan sebuah keluarga bahagia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Apabila Allah SWT menghendaki sebuah rumahtangga itu bahagia, nescaya Ia akan memberikannya keinginan untuk menghayati ilmu-ilmu agama, yang muda akan menghormati yang tua, tenang dan damai dalam kehidupan, hidup dalam keadaan yang sederhana, menyedari kelemahan (aib) yang ada dan bertaubat. Namun, jika Allah SWT menginginkan sebaliknya, maka ditinggalkannya (keluarga tersebut) dalam kesesatan”.
(Riwayat al-Dailami)
Namun, jika dilihat dalam masyarakat hari ini pastinya kita akan merasai kesukaran untuk merealisasikan beberapa perkara penting yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadith di atas. Ini kerana dunia hari ini terlalu banyak perkara-perkara yang melalaikan sehingga masyarakat semakin jauh untuk menghayati ajaran-ajaran Islam yang sebenar. Masjid-masjid yang tersergam indah sunyi daripada budaya ilmu. Malah bilangan jemaah yang hadir untuk solat berjemaah juga menyedihkan. Walau bagaimanapun, seorang muslim yang memimpin bahtera rumahtangga perlu berazam untuk menjadikan rumahtangga yang dibina sebagai sebuah keluarga yang dipenuhi dengan cahaya iman dan nur dari Allah Taala. Justeru, budaya ilmu ini mesti dan dimulakan dalam kalangan ahli keluarga dengan menggunakan medium usrah yang diadakan di rumah sendiri terlebih dahulu.
Jika kita amati daripada di atas, kita akan dapati beberapa noktah penting yang perlu diberi perhatian oleh setiap muslim dalam membentuk sebuah rumahtangga yang bahagia. Antaranya ialah :
I. Agama sebagai dasar kehidupan dalam rumahtangga.
II. Mengamalkan akhlak yang mulia. Setiap ahli keluarga perlu hormat menghormati antara satu sama lain.
III. Memiliki hati dan jiwa yang tenang hasil daripada penghayatan majlis ilmu yang diikuti sehingga dapat membina sebuah rumahtangga yang harmoni. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidaklah berkumpul satu kaum di dalam satu rumah daripada rumah-rumah Allah yang membaca kitab Allah dan mempelajarinya, melainkan ia akan dikerumuni oleh para malaikat, dipenuhi dengan rahmat (dari Allah), diturunkan ketenangan ke atasnya (oleh Allah) dan nama mereka disebut oleh Allah di sisi makhluk-makhluk-Nya”.
Hadith ini juga menguatkan lagi betapa pembudayaan majlis ilmu akan membentuk sebuah keluarga yang disinari iman dan cahaya Ilahi. Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadith di atas bahawa manusia yang melazimi majlis ilmu akan memperolehi beberapa perkara :
- Malaikat akan bersama-sama mereka dan menebarkan sayap kerana redha kepada mereka yang berada dalam majlis ilmu.
- Allah Taala akan menurunkan rahmatnya yang menjadikan ahli-ahli majlis ilmu memperolehi kebaikan dalam hidup.
- Allah Taala akan menurunkan ketenangan-Nya sehingga menjadikan setiap ahli keluarga yang melazimi majlis Ilmu mampu hormat-menghormati, sayang-menyayang antara satu sama lain dan mampu menghadapi dugaan dan cabaran dalam melayari bahtera rumahtangga dengan penuh ketenangan.
- Mereka akan mendapat keredhaan dari Allah sehingga nama mereka disebut oleh Allah SWT di sisi makhluk-makhluknya.
Saturday, 26 January 2013
Antara Dakwah dan Ibubapa ? Mana yang perlu diutamakan ?
بسم الله الرحمن الرحيم
Mana yang
lebih utama antara tanggungjawab dakwah dan ketaatan kepada ibubapa? Persoalan
ini sememangnya menjadi kebiasaan kepada
mana-mana pelajar atau mahasiswa … Sesiapa yang terlibat dengan gerak kerja
dakwah pastinya akan berhadapan dengan persoalan seperti ini… Dakwah adalah satu amanah yang penting dan
perlu digalas oleh setiap insan yang bergelar khalifah… iaitu menegakkan agama
dan menguruskan dunia dengan manual agama yang diberi garis panduan oleh Allah
SWT sendiri …
Keterlibatan pelajar dan mahasiswa di sekolah dan juga IPT
dalam medan dakwah adalah satu perkembangan yang sihat.. Namun di sana.. mereka
kadang kala berada di persimpangan antara tanggungjawab membawa amanah ibubapa
dalam mengejar segulung ijazah dan tanggungjawab dakwah…
Jika ditanya
mana yang lebih penting: Ibubapakah atau dakwah? Dan manakah yang perlu
didahulukan? Untuk menjawab persoalan ini… setiap mereka yang berjalan di jalan
dakwah memerlukan kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan sekiranya berlaku
pertembungan antara amanah dakwah dan ibubapa.. Inilah masanya kita perlu
menggunakan segala pengalaman dan kebijakasanaan dalam menentukan aulawiyyat
kehidupan..
Namun di
sana…tak kurang ada juga dalam kalangan “Abna’ul Harakah” ada juga dengan tanpa rasa bersalah
membohongi ibubapa dalam mengerjakan gerak kerja dakwah… katanya: Tak mengapa
demi maslahah dakwah, kita disunatkan berbohong walaupun kepada ibubapa
sendiri… Imam al-Ghazali telah menyebut dalam kitabnya ‘Ma‘zhatul mukmin’
Berbohong adalah diharamkan melainkan dalam perkara berikut hukumya berubah
menjadi:
i.
Harus : Untuk mendamaikan
manusia yang berselisih.
ii.
Wajib : Untuk menjaga nyawa
manusia.
Walau
bagaimanapun, dua perkara di atas bukanlah boleh digunakan sesuka hati dan
setiap masa.. ibarat garam dalam masakan.. gunalah secukup rasa, jika terlebih
akan memudharatkan….Ingat: Kita tidak mahu menjadi anak yang derhaka…
Kedudukan Ibubapa dalam Islam
Ibubapa dalam kaca mata Islam mempunyai kedudukan yang
istimewa. Terlalu banyak petunjuk daripada al-Quran yang memerintahkan
anak-anak supaya mematuhi dan berbuat baik kepada keduanya..Perintah dan arahan
supaya berbuat baik kepada ibubapa ini adalah suatu kewajipan yang tidak boleh
dipantang enteng oleh anak-anak selagi mana tiada kemaksiatan kepada Allah SWT.
Antaranya beberapa firman Allah Taala:
1. “Dan hendaklah kamu beribadat kepada
Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah
kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa”
(Surah al-Nisa’
4: 36)
2.
“Katakanlah: "Marilah, supaya
Aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu
janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat
baik kepada ibu bapa”
(Surah al-An‘am 6: 151)
Dalam dua ayat tersebut… ketaatan kepada kedua ibubapa berada
ditingkat yang kedua…. iaitu selepas perintah supaya menyembah dan mentauhidkan
Allah SWT. Begitu juga jika kita perhatikan kepada wasiat Luqmanul Hakim kepada
anaknya :
“Dan Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah
(dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu
kezaliman yang besar. Dan Kami mewajibkan manusia supaya berbuat baik kepada
kedua ibu bapanya”
(Surah Luqman 31: 13-14)
Kelebihan berbakti
kepada kedua ibubapa
Sebenarnya
jika kita perhatikan dalam dalam hadith dan juga athar… terdapat banyak riwayat
yang menceritakan kelebihan seorang anak yang melakukan kebaikan kepada kedua
ibubapa sebagaimana yang digambarkan dalam cerita:
- Uwais bin ‘Amar yang mustajab doa kerana bakti kepada ibunya.
- Tiga orang pemuda yang terperangkap dalam gua dan salah seorang daripadanya berdoa dengan menyebut kebaikan yang dilakukannya terhadap kedua ibubapanya sehingga akhirnya mereka diselamatkan oleh Allah SWT daripada gua tersebut.
Seorang
anak bukan sahaja diwajibkan berbuat baik kepada kedua ibubapanya, tetapi juga
berbuat ihsan juga dituntut..Ihsan bermaksud melakukan sesuatu kebaikan
melebihi apa yang diwajibkan ke atasnya.. Inilah sebenarnya sumber kepada
segala keberkatan bagi seorang anak..
Balasan derhaka kepada
kedua ibubapa
Jika
seorang anak yang solih dijamin kebaikannya oleh Allah Taala dan Rasulnya…
Begitu juga seorang anak yang derhaka… Azab dan sengsara pasti akan datang
kepadanya.
Rasulullah
SAW pernah bersabda: “Dua kejahatan yang akan disegerakan balasannya di
dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua ibubapa”(Hadith riwayat
al-Tirmizi).
Dalam hadith yang lain juga Baginda SAW ada bersabda: “Semua
dosa akan dtangguhkan oleh Allah iaitu menurut kehendaknya hingga ke hari
kiamat, melainkan balasan menderhaka kepada ibubapa..Maka sesungghnya Allah
Taala akan menyegerakan kepada pelakunya semasa hidup di dunia (sebelum mati)”.
(Hadith riwayat al-Hakam)
Ibnu Umar r.a juga pernah menyebut bahawa ada semilan dosa-dosa
yang paling besar, antaranya:
- Mempersekutukan Allah
- Membunuh orang lain tanpa hak
- Melarikan diri dari medan perang
- Memfitnah wanita solehah dengan tuduhan zina
- Memakan riba
- Memakan harta anak yatim
- Melakukan maksiat dalam masjid
- Menghina ibubapa
- Ibubapa menangis diebabkan kederhakaan seoang anak (Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad hadith no 8)
Berdasarkan kepada beberapa hadith di atas,
sepatutnya kita lebih berhati-hati…
dalam setiap tanduk yang kita lakukan terutama yang berkait rapat dengan
kedua ibubapa…
Berjihad dan keredhaan ibubapa seharusnya seiring…Jangan
sampai kita mencari sesuatu kebaikan tetapi melupakan kebaikan yang perlu
diutamakan…Ingatlah:
“Keredhaan Allah SWT
bergantung kepada keredhaan ibubapa”
Diriwayatkan bahawa Ibnu Umar r.a berkata:
“Aku
bertanya kepada Nabi Muhammad SAW : “Apakah amal perbuatan yang dikasihi oleh
Allah? Lalu Baginda bersabda: “Solat pada waktunya”. Kemudian apa lagi? Baginda
menjawab: “Berbakti kepada kedua ibubapa”. Aku bertanya lagi: “Kemudian apa
lagi?” Jawab Baginda: “Berjihad pada jalan Allah”.
Dalam hadith
ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa berbuat baik kepada ibubapa mengatasi
jihad pada jalan Allah..
Dalam hadith
yang lain pula, menunjukkan betapa seorang anak yang ingin turut serta dalam
berjihad wajib terlebih dahulu mendapat keizinan daripada kedua ibubapanya. Ini
sebagaimana yang disebut oleh Abu Said al-Khudri r.a:
“Ada seorang pemuda dari Yaman yang
berhijrah kepada Rasulullah SAW semata-mata untuk berjihad, lalu Baginda SAW
bertanya: “Adakah engkau mempunyai seseorang di Yaman? Jawab pemuda tersebut:
“Ibubapaku”. Rasulullah SAW bertanya lagi: “Adakah mereka member keizinan
kepada engkau?” Jawab pemuda tersebut: “Tidak”. Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Kembalilah kepda mereka berdua, dan minta izinlah! Jika mereka izinkan, maka
berjihadlah! Tetapi jika tidak…Maka berbuat baiklah kepada mereka berdua”.
Pengajaran hadith:
Dalam
menerangkan hadith di atas, Imam al-Syaukani r.hm berkata:
1 *Berbakti kepada ibubapa
adalah lebih utama daripada berjihad.
2 *Wajib meminta izin daripada
ibubapa dalam urusan jihad. Pendapat ini adalah pendapat jumhur ulama yang
menyatakan haram berjihad jika salah seorang darinya tidak mengizinkan, kerana
berbakti kepada kedua ibubapa adalah fardhu ain dan berjihad adalah fardhu
kifayah melainkan jika sekiranya jihad
jatuh dalam fardhu ain, maka hukumnya pada ketika itu tidak perlu mendapat
keizinan. (Nail al-Authar : Jilid 4)
Seorang
lelaki pernah datang kepada Rasulullah SAW untuk berbaiah sedangkan ibubapanya yang ditinggalkan dalam keadaan
menangis, lalu Rasulullah SAW memerintahkannya supaya kembali ke pangkuan
ibubapanya dengan Sabda Baginda SAW:
“Kembalilah
kepada mereka berdua dan gembirakanlah mereka sebagaimana kamu jadikan mereka
mengangis”.
Konklusi
Dakwah dan
ibubapa manakah yang perlu didahului?
Memberi
ketaatan kepada jemaah dan ketaatan kepada ibubapa… masing-masing mempunyai
hujah dan dalil kewajipannya..tetapi ingatlah:
Tidak boleh menderhakai ibubapa kerana dakwah…
Tetapi Tidak boleh juga meninggalkan
dakwah
kerana ibubapa…..
Dalam Islam..
Jihad adalah suatu yang sangat mulia…Terlalu banyak petunjuk dari al-Quran yang
menunjukkan kemuliaan orang yang berjihad..Namun begitu …keizinan daripada
ibubapa tetap diperlukan..
Berbalik kepada realiti pelajar dan mahasiswa yang terlibat
dengan gerak kerja dakwah seperti menganjurkan daurah dan seminar, menghadiri tamrin atau apa sahaja gerak keraja
dakwah yang lain.. pastikan kita memperolehi keizinan daripada ibubapa… Jika
mereka memberi keizinan, inilah peluang keemasan untuk kita bekerja dengan
penuh rasa tanggungjawab..
Tetapi.. jika mendapat tentangan daripada mereka.. Maka pada
waktu itu… janganlah kita mencari helah untuk membohongi mereka…Cubalah untuk
memahamkan mereka dengan uslub yang terbaik dan penuh hikmah di samping
memanjatkan doa kepada Allah SWT.. agar segala urusan kita dipermudahkan dan
mereka juga turut memahami tentang kepentingan dan kewajipan dakwah….
Jika sekiranya mereka berkeras..Maka bersabarlah dan
taatilah mereka…Lakukanlah apa-apa aktiviti dakwah yang lain dalam konteks yang
dibenarkan ..Mungkin kita tidak dibenarkan untuk menghadiri mana-mana program..
tetapi kita masih mempunyai ruang memberi
sumbangan kepada gerak kerja dakwah dari kejauhan…
Setiap
kader dakwah perlu bijak.. jadilah seperti aliran air yang mengalir.. walaupun
dihalang dan disekat ia tetap mampu mengalir mengikut ruang yang ada..
Ibubapalah segala-galanya bagi kita..berbaktilah kepada
mereka…sementara kita diberi kesempatan untuk bersama mereka ini… Semoga
sedikit penjelasan ini dapat memberi pencerahan kepada “abna’ul harakah”
yang sedang berjalan di jalan dakwah… Jangan
dengan sedikit ujian yang diberikan kepada kita.. menjadi sebab untuk kita
berpisah dari gerakan dakwah… Jangan sekali-kali kita memohon keluar daripada
jemaah.. kerana mungkin hari ini kita terhalang untuk melakukan gerak kerja
yang mulia ini… tetapi mungkin kita
mempunyai ruang dan furshoh yang baik pada
masa akan datang… Begitu juga dengan sahabat-sahabat kita yang lain..hari ini
mereka berkesempatan… tetapi mungkin di kemudian hari mereka terhalang….
Sesungguhnya setiap sahabat-sahabat dan ahli
dalam jemaah perlu menampung segala kelemahan antara satu sama lain.. Tidak ada
manusia yang sempurna…seniority seseorang dalam jemaah tidak akan memberi jaminan
bahawa ia mampu melakukan sesuatu kerja jemaah tanpa kekurangan….
Kita hanya
mampu berusaha dan berdoa.. selebihnya adalah urusan Allah SWT..
Sekian,
siiru ‘ala baarakitllah…
Subscribe to:
Posts (Atom)