![]() |
Add caption |
Sumayyah binti
Khaiyat r.a ialah seorang hamba kepada Abu Huzaifah bin al-Mughirah Abdullah
bin Umar al-Ansi iaitu seorang pembesar Quraisy. Oleh kerana Sumayyah adalah
seorang anak yatim piatu, beliau telah tinggal bersama Abu Huzaifah semenjak
kecil lagi. Sumayyah merupakan seorang hamba yang setia dan sangat patuh kepada
setiap arahan tuannya menyebabkan beliau cukup disegani walaupun tarafnya
hanyalah sebagai seorang hamba abdi yang berkulit hitam. Apabila meningkat
dewasa Sumayyah telah mendirikan rumahtangga dengan salah seorang pekerja Abu
Huzaifah iaitu Yasir bin Amin al-Ansi seorang pendatang dari Yaman yang juga
turut dikenali sebagai Abu Ammar. Hasil perkahwinannya ini, beliau dikurniakan
seorang anak lelaki yang bernama Ammar bin Yasir. Selepas kedua ibubapanya
syahid kerana mempertahankan agama Islam, Ammar bin Yasir telah dipaksa oleh
kaum Musyrikin supaya mengucapkan kalimah kufur iaitu menyebut nama-nama
berhala mereka. Dalam keadaan dharurat (terpaksa) ini Ammar tidak sedar
ia telah menuruti kehendak kaum Musyrikin ini dengan menyebut nama-nama berhala
dan akhirnya dibebaskan oleh kaum Musyrikin. Setelah Ammar kembali siuman,
Ammar menyedari apa yang telah diucapkannya semasa diseksa. Ia sangat menyesal.
Beberapa orang sahabat yang juga baru memeluk Islam telah menceritakan kepada
Rasulullah SAW sehingga Baginda SAW bertanya kepada Ammar : “Mereka
orang-orang musyrik telah menyeksamu dan membenamkanmu ke dalam air sehingga
kamu mengucapkan begini dan begitu....?”
“Memang benar wahai Rasulullah !” Jawab Ammar sambil meratap dengan
penuh penyesalan. Sambil tersenyum Rasulullah SAW bersabda:
“Jika mereka memaksamu lagi,
tidak mengapa jika kamu mengucapkan apa yang telah kamu ucapkan sebelum ini”.
Lantas Rasulullah
SAW membaca ayat al-Quran yang bermaksud:
“Sesiapa yang kufur kepada Allah
sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang
yang dipaksa (melakukan kufur)”
(al-Nahl :106)
Ammar bin Maimum telah menceritakan
perihal Ammar putera Yasir dan Sumayyah ini dengan katanya :
“Kaum
Musyrik telah membakar Ammar bin Yasir dengan api. Ketika Rasulullah SAW lalu
di tempatnya, lalu memegang kepalanya sambil bersabda: “Wahai api ! Sejuklah
kamu di badan Ammar sebagaimana kamu dulu juga sejuk di badan Ibrahim”.
Memeluk Agama Islam
Sumayyah dan suaminya antara
golongan terawal yang menerima cahaya Islam dari Nabi Muhammad SAW yang mula
bertapak di Mekah. Para ahli sejarah menyatakan Sumayyah adalah termasuk orang
yang ketujuh memeluk Islam. Selain Khadijah r.a dia adalah antara wanita yang
mula-mula memeluk Islam. Setelah menerima Islam sebagai agama baru, Sumayyah
dan keluarganya seperti kaum Muslimin yang lain juga akan menjalankan perintah
Allah SWT secara rahsia samada dilakukan di rumah atau di gua-gua yang jauh
dari pandangan manusia agar tidak dapat dikesan oleh kaum Musyrikin Mekah.
Walaupun segala kegiatan dilakukan secara rahsia dan sembunyi oleh kaum
Muslimin, dengan sebab bilangan yang memeluk Islam semakin bertambah akhirnya
kegiatan mereka telah dapat dihidu oleh pihak Musyrikin.
Sekiranya kaum Muslimin itu dari
golongan bangsawan dan berpengaruh, mereka akan berdepan dengan ugutan dan
ancaman tetapi jika kaum muslimin itu terdiri dari kalangan orang-orang miskin
dan hamba yang rendah martabatnya, mereka akan diseksa oleh kaum Musyrikin
tanpa belas kasihan.
Kisah Sumayyah
mula menjadi perhatian apabila beliau dan keluarganya ditangkap oleh Abu Jahal
bersama dengan kuncu-kuncunya. Oleh kerana keimanan yang begitu teguh yang ada
pada Sumayyah dan keluarganya menjadikan dirinya tetap tabah dan terus setia
dengan agama baru yang diterimanya walaupun menerima pelbagai bentuk penyeksaan
yang dilakukan oleh Abu Jahal bersama dengan pengikut-pengikutnya.
Janji
Syurga
Ketika berada dalam tawanan Abu
Jahal, Sumayyah dan keluarganya dibawa ke tengah-tengah padang pasir yang memancar teriknya cahaya matahari.
Mereka dibiarkan dalam keadaan lapar dan dahaga sedangkan kaki dan tangan mereka
diikat. Pada ketika ini, tiada siapa yang boleh membantu termasuklah Rasulullah
SAW sendiri kerana dakwah Islam masih di peringkat awal apatah lagi untuk
mempunyai kuasa dalam pemerintahan.
Pada
suatu hari, Rasulullah SAW melalui tempat Sumayyah dan keluarganya diseksa lalu
Baginda SAW bersabda dengan kata-kata perangsang yang bermaksud:
“Bersabarlah
wahai keluarga Yasir ! Sesungguhnya balasan yang akan kamu terima nanti adalah
syurga”.
Sungguh ! Kata-kata dari Rasulullah
SAW ini telah dapat menangkan hati dan memberi ketabahan kepada mereka terhadap
agama Islam walaupun pelbagai seksaan terus dilalui oleh mereka sekeluarga.
Pada suatu hari, Abu Jahal datang ke tempat keluarga Yasir diseksa. Abu Jahal
terus memaki dan mencerca keluarga Yasir serta memaksa mereka supaya
meninggalkan agama Islam tetapi Abu Jahal terus hampa kerana keimanan keluarga
Yasir sedikit pun tidak berganjak. Abu Jahal sudah tidak dapat menahan
kemarahannya lalu mengambil lembing dan menusuknya ke dada Sumayyah. Akhirnya
gugurlah Sumayyah sebagai syahid yang pertama di bumi Mekah. Yasir,
suami Sumayyah juga turut menyusuli Sumayyah dengan menerima anugerah sebagai
seorang yang gugur syahid kerana mempertahankan keimanan kepada Allah SWT dalam
hati mereka. Syahid yang mereka terima ini adalah sebagai membenarkan kata-kata
Rasulullah SAW untuk mereka menerima syurga Jannatul Na’im di akhirat
kelak.
Sumber Inspirasi dan Kegigihan
Walaupun
kehidupan Sumayyah dalam Islam tidaklah berlalu lama, namun keimanan dan
ketabahannya sehingga sanggup menjadikan dirinya sendiri menjadi tebusan bagi
mempertahankan Islam. Beliau telah mendapat anugerah syahidah pertama di Mekah
dalam Islam, beliaulah juga lambang kegigihan seorang muslimat yang telah
terbuka pintu makrifatnya untuk meyakini janji Allah dan Rasulu-Nya. Bukan
hanya setakat kata-kata tapi telah dibuktikan dengan segala tindakan dan
pengorbanan sebagai membenarkan keimanan yang telah terpahat dalam hatinya
hasil tarbiyah dalam majlis Usrah
Nabawiyyah. Firman Allah SWT :
“Patutkah manusia menyangka bahawa
mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak
pernah diuji (dengan sesuatu cubaan)?”
(al-Ankabut
: 2)
Sumayyah juga
lambang seorang seorang ibu yang tabah. Walaupun hanya seorang hamba, tetapi
beliau mampu melahirkan seorang putera yang bersemangat waja sehingga menjadi
salah seorang sahabat yang sangat dicintai oleh Baginda Rasulullah SAW. Pernah
diriwayatkan dari Khalid al-Walid r.a bahawa dia pernah bertengkar dengan Ammar
bin Yasir lalu mengadukannya kepada Rasulullah SAW . Baginda terus bersabda
yang bermaksud:
“Wahai
Khalid! Sesiapa yang memaki Ammar bin Yasir, nescaya Allah akan menjadi
musuhnya. Sesiapa yang merendakan Ammar, Allah juga akan merendahkannya”. Inilah
pujian dari Rasulullah SAW yang menyatakan kedudukan Ammar bin Yasir di sisi
Allh dan Rasul-Nya.
Nama
Sumayyah terus disebut sehingga kini, tangan lembutnya yang menghayung buaian
mampu untuk menggoncang dunia apabila berbekalkan keimanan dan ketakwaan yang
sebenar kepada Allah SWT. Beliau telah membuktikan betapa seorang yang memiliki
jiwa yang besar akan memandang masalah-masalah yang dilihat besar oleh lain
hanyalah suatu yang kecil dan remeh di sisinya. Namun untuk memiliki jiwa
seteguh Sumayyah bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi ia perlu dilatih dan
dipupuk serta perlu bersedia untuk menterjemahkan segala ilmu yang ada ke dalam
kehidupan seharian.